Sabtu, 2009 Ogos 08

Asal Amalan Kebatinan Nusantara


Di Nusantara, masyarakat Melayu terkenal dengan istilah "Amalan Kebatinan" sejak kedatangan para pedagang Arab yang menyebarkan ajaran Islam. Amalan Kebatinan sendiri istilahnya berasal dari kosa kata Arab iaitu 'AMAL dan BATHIN. 'Amal merujuk pada sesuatu pekerjaan seperti amal buruk atau amal kebaikan. Sedangkan Bathin merujuk kepada dalaman manusia yang bersifat halus atau seni. Ia juga boleh dirujuk sebagai tenaga atau sesuatu energi.

Dari segi istilah "Amalan Kebatinan" membawa maksud Ilmu bersifat mistik. Dari segi bahasa "Amalan Kebatinan" bermaksud satu amalan pengolahan tenaga yang bersifat mistik atau ghaib yang dilakukan oleh seseorang samada untuk mempertahankan diri, melakukan rawatan, atau amalan Kesufian dalam Tariqat (Tasawwuf).

Secara umum, amalan kebatinan ini sebenarnya tidak dapat dipisahkan perkaitannya dengan kepercayaan agama. Sebelum kedatangan Islam ke Nusantara, amalan bertapa yang menjadi kebiasaan bagi sami Hindu dan Buddha dilakukan dalam amalan Yoga dan Meditasi. Begitu juga dengan amalan kebatinan para rahib-rahib Nasrani. Untuk mendapatkan kasih sayang Tuhan mereka perlu mengorbankan hawa nafsu dengan tidak berkahwin. Mereka bermeditasi di sudut-sudut menara mereka senantiasa menyebut nama Tuhan seperti yang berlaku di Eropah.

Setelah kedatangan Islam ke Nusantara suasana amalan kebatinan kehinduan dan kebuddhahan para sami telah mendapat nafas baru setelah mereka berjaya diislamkan. Disebabkan para pendakwah Arab menyebarkan Islam dengan cara Sufi (Tasawwuf) yang juga punya cara beramal Tafakur dan Berzikir (meditasi) yang hampir sama bentuknya, menyebabkan pengislaman Nusantara begitu mudah.

Uzlah (berzikir) dalam amalan Sufi tidak jauh beza dengan Meditasi para sami Hindu dan Buddha. Yang membezakannya ialah pengisian dan kepercayaan. Uzlah zikir telah menggantikan bertapa atas gunung-ganang oleh para pengamal ilmu kebatinan Kuno dengan pengisian zikrullah dan pengajian agama Islam. Islam masuk mengubah kaedah rawatan dan pengubatan kuno kepada Islam yang menggunakan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Walau bagaimana pun kaedah Kuno amalan kebatinan (seperti pertapaan) masih wujud turun-temurun yang diwarisi para pawang dan bomoh yang masih bertahan dalam kumpulan persilatan Melayu hingga kini. Hinggakan perbomohan seperti penggunaan Jin-jin khadam dalam rawatan termasuk dalam persilatan telah bercampur aduk dengan kaedah rawatan Islam.

Dalam konteks Amalan Kebatinan Nusantara kita akan dapati tiga bentuk atau kaedah Amalan Kebatinan.
  1. Pertama amalan Kebatinan Islam.
  2. Kedua, amalan Kebatinan Islam bercampur perbomohan sihir.
  3. Ketiga, amalan Kebatinan Perbomohan dan Pawang sihir semata-mata.
Bersambung.....

Artikel disediakan oleh Asreemoro.
Melalui email tausugglobal@gmail.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Kesatuan Tenaga Dalam SeNusantara Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template